mutakhir

Doktor maut, 7 jam bertarung nyawa

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

DOKTOR meninggal dunia selepas lebih tujuh jam bertarung nyawa susulan motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 13.6 Jalan Taiping-Kuala Sepetang, Taiping tengah hari semalam.

Dr Abdul Mukmin Abdul Manan, 29, dari Batu Gajah meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping pada 8.22 malam selepas parah di kepala dalam kejadian pada 12.40 tengah hari itu.

Difahamkan, mangsa turut bertugas di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal Honda Wave ditunggang mangsa menghala ke Kuala Sepetang melanggar dan bergesel dengan bahagian sisi kiri sebuah kereta.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal kereta berkenaan mahu membelok ke simpang kiri jalan.

“Mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak sebelum melanggar kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun.

“Bagaimanapun, warga emas berkenaan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati jalannya lurus sehala, berturap tar dan rata selain kedua-dua lorong jalan dipisahkan dengan garisan putus di tengah jalan.

“Selain itu, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati kedua kenderaan sudah dialihkan oleh orang awam dan menyebabkan tiada kesan kemalangan ditinggalkan.

Dalam pada itu, Osman menyangkal dakwaan warganet yang mendakwa kejadian sebagai langgar lari.

“Tidak benar kerana laporan berhubung kemalangan sudah dibuat,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 9:16am
d