mutakhir

Wagyu bernilai RM6,000 dirampas

Oleh Shamsul Munir Safini

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 22.10 kilogram daging wagyu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, malam tadi.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, ia dirampas daripada seorang wanita Korea berusia lingkungan 40-an di balai ketibaan LTAPP, 10.15 malam.

“Individu itu mendakwa membawa masuk daging wagyu itu menggunakan dua bekas polisterin untuk kegunaan sendiri.

“Kesemua daging dianggarkan bernilai RM6,000 itu dirampas dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, daging itu dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import daripada MAQIS dan sijil kesihatan dari negara asal.

Beliau berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 12:25pm
d