mutakhir

Mahkamah khas PATI beroperasi Isnin

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

MAHKAMAH Khas Kes Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Semenyih, Selangor dan Mahkamah Sesyen Langkawi, Kedah akan beroperasi Isnin ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan berkata, penubuhan Mahkamah Khas PATI Semenyih bagi mengendalikan kes PATI ini selaras dengan Akta Imigresen 1959 yang bertujuan mempercepatkan pelupusan kes membabitkan tangkapan warga asing oleh pihak imigresen.

“Mahkamah khas ini ditempatkan di depoh tahanan PATI di seluruh negara. Infrastruktur dan prasarana bagi persidangan Mahkamah khas ini disediakan oleh Jabatan Imigresen, manakala pegawai kehakiman dan kakitangan sokongan terdiri dari jurubahasa serta kerani kewangan adalah kakitangan mahkamah,” katanya hari ini.

Pada masa sama, kenyataan itu menyebut, Mahkamah Sesyen Langkawi dibuka mulai Isnin ini dan akan membicarakan kes sivil dan jenayah yang didaftar dan tertakluk kepada bidang kuasa tempatan daerah Langkawi.

Katanya, penubuhan mahkamah itu bertujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan pihak terbabit yang mana saksi serta orang awam.

Mereka kini tidak perlu berulang alik ke Mahkamah Sesyen Alor Setar yang mengambil masa dua jam perjalanan melalui pengangkutan laut dan darat.

Mengulas lanjut, katanya, penubuhan kedua-dua Mahkamah Sesyen Langkawi dan Mahkamah Khas (PATI) Semenyih ini bertujuan mendokong prinsip kemudahan akses kepada keadilan terutama bagi komuniti atau penduduk yang jauh dari mahkamah sedia ada sekali gus mengurangkan keberkesanan kos.

“Badan Kehakiman Malaysia sentiasa memberi penekanan terhadap akses kepada keadilan kerana ia satu hak dan harapan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan di Malaysia.

“Ia juga untuk mengiktiraf, masyarakat luar bandar yang turut berhak mendapat perkhidmatan keadilan cekap dan merangkumi semua golongan masyarakat,” katanya.

Justeru, menurutnya, Badan Kehakiman Malaysia berharap penubuhan mahkamah baharu ini dapat dijadikan forum untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang menuntut keadilan sekali gus mendukung prinsip kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 1:16pm
d