mutakhir

Kehadiran burung hijrah cetus fenomena unik

Oleh Amran Yahya

SEJAK beberapa hari lalu, satu fenomena asing berlaku di Kampung Lonek, Batu Kikir, Jempol apabila ribuan burung berwarna putih menjadikan kawasan sawah di desa itu sebagai lokasi persinggahan.

Penduduk kampung, Zolkefli Mokhtar, 52, berkata burung itu hanya dikenali sebagai ‘burung hijrah’ oleh penduduk kampung, malah asal serta hala tuju burung itu tidak dapat dipastikan.

“Ia datang secara berkumpulan dan di awal kehadirannya, ia kelihatan seperti burung helang ketika di udara, namun selepas turun ke sawah, ia seolah-olah seperti burung bangau, tetapi saiznya agak besar.

“Bukan sahaja di Kampung Lonek, saya difahamkan kumpulan burung ini dapat dilihat di sekitar sawah di Juasseh,” katanya ketika ditemui di Kampung Lonek, hari ini.

Zolkefli berkata, bentuk badan burung berkenaan seperti itik, tetapi ia mempunyai kaki panjang seperti burung bangau dan mempunyai paruh besar.

“Pada waktu siang, dapat diperhatikan burung ini berada di dalam air dan parit untuk mencari makanan.

“Kadang-kadang ia terbang dan hinggap di pokok kelapa dan pokok buah-buahan lain berhampiran kediaman penduduk, namun ia tidak mengganggu persekitaran dan penduduk.

“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tempat burung ini tidur pada waktu malam,” katanya.

Zolkefli berkata, sejak kehadiran burung hijrah itu, kawasan berkenaan menjadi tumpuan penduduk untuk melihat fenomena yang jarang-jarang berlaku itu.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak tahu tempoh ia akan berada di kawasan berkenaan.

Penduduk, Muhamad Zaid Panak, 45, berkata, sejak kehadiran burung hijrah itu, burung bangau yang sering berada di sawah kini tidak kelihatan lagi.

“Mungkin bangau takut kerana saiz burung hijrah lebih besar dan mempunyai paruh panjang, malah ia dalam kumpulan ramai.

“Bagaimanapun, masih belum ada kedengaran lagi burung ini diburu atau dibunuh kerana keberadaannya tidak menjejaskan keselamatan penduduk,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 1:38pm
d