mutakhir

Kerana duit

Oleh Norizuan Shamsuddin

UBAHSUAI bangunan kedai dua tingkat dengan membina bilik kecil untuk disewakan kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tindakan terbabit dikesan dilakukan pemilik premis berkenaan dipercayai bagi mengaut keuntungan daripada warga asing yang menyewa bilik di premis berkenaan.

Bagaimanapun, kegiatan terbabit terbongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu penempatan haram pekerja warga asing di bangunan kedai dua tingkat di Jalan Pekan, Kuala Berang, hari ini.

Dalam serbuan 3.10 pagi, seramai 64 warga asing tinggal di dalam premis yang mempunyai lebih 10 bilik itu diperiksa sepasukan pegawai dan anggota JIM Terengganu.

Timbalan Pengarah JIM Terengganu, Malik Zaliman Deraman berkata, operasi dilaksanakan 18 anggota dan pegawai Imigresen diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, JIM Terengganu, Mohd Muda.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bangunan yang kelihatan seperti sebuah premis pejabat dari luar didapati dijadikan penempatan pekerja warga asing yang bekerja di sekitar kawasan terbabit.

“Pemeriksaan di dalam premis mendapati terdapat banyak bilik kecil yang dihuni 64 warga asing, membabitkan 20 warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak dan seorang Bangladesh.

“Mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua PATI berusia setahun hingga 70 tahun ditahan mengikut Seksyen 51(3)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Menurutnya, mereka di hantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, untuk siasatan lanjut.

Malik Zaliman berkata, hasil serbuan terbabit pihaknya percaya premis berkenaan diubahsuai untuk dijadikan bilik sewa bagi menempatkan warga asing berkenaan.

“Kami percaya, pemiliknya sengaja mengubahsuai premis itu semata-mata hendak mengaburi mata pihak berkuasa dan ingin mengaut keuntungan berganda.

“Tindakan undang-undang juga akan dikenakan terhadap pemilik premis kerana melindungi PATI,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 4:39pm
d