mutakhir

Operasi kereta api kabel ditutup 9 hari

Oleh BERNAMA

PERKHIDMATAN kereta api funikular di Bukit Bendera akan ditutup selama sembilan hari bermula 6 Januari ini bagi penyelenggaraan tahunan berjadual kali pertama.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dalam kenyataan berkata, operasi kereta api berkenaan akan berjalan seperti biasa selepas penyelenggaraan tahunan itu pada 15 Januari.

“Penyelenggaraan berjadual itu akan dijalankan di bawah pengawasan syarikat pengeluar funikular iaitu Garaventa AG dari Switzerland untuk memastikan sistem penggera sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat.

“Pengunjung yang mahu ke pusat pelancongan itu boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip yang dikendalikan oleh syarikat persendirian dari Taman Botani.

“Selain itu, boleh menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera semasa tempoh penutupan itu,” kata kenyataan itu hari ini.

PHC memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran dan sokongan berterusan kepada Bukit Bendera.

Sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi PHC di talian 04-8288880 atau emel kepada inquiries@penanghill.gov.my.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 5:42pm
d