mutakhir

Miri sediakan zon merokok

Oleh Kandau Sidi

MAJLIS Bandaraya Miri (MBM) akan menyediakan zon merokok di luar premis makanan di bandar raya Miri, bermula Januari ini.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii berkata, ia tidak bermakna pihaknya membantah polisi larangan merokok di tempat awam untuk menjaga kesihatan golongan bukan perokok.

“Kita menyediakan stesen atau zon merokok untuk perokok dan ia adalah pendekatan lebih baik.

“Kita mahu memberitahu orang awam, perokok hanya dibenarkan merokok di stesen dan zon merokok sahaja,” katanya selepas Sesi Bertemu Pelanggan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Miri, semalam.

Adam berkata, pelan dan kajian mengenai lokasi zon merokok dalam perbincangan dan diharap dapat dilaksanakan bulan ini.

Mengikut peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia, merokok hanya dibenarkan di luar jarak tiga meter atau 10 kaki dari setiap premis.

“Pada masa ini, kita tidak memiliki zon merokok. Ya... dalam bulan ini kita akan sediakan (zon merokok) berdekatan restoran atau taman awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBM akan memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan dalam aspek penguatkuasaan untuk memastikan perokok mematuhi peraturan ditetapkan.

Bermula 1 Januari lalu, perokok tidak dibenarkan merokok di semua premis makanan dengan kompaun sebanyak RM250 dikenakan kepada mereka yang ingkar.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 6:19pm
d