mutakhir

PABM hargai semangat Muhammad Ata

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) menyifatkan pemergian Muhammad Ata Maarof, 28, yang juga atlet angkat berat Orang Kurang Upaya (OKU), hari ini, sebagai satu kehilangan besar dalam sukan terbabit.

Ia berikutan, potensi yang ditunjukkan atlet berkenaan kepada Johor dan negara selain sudah berlatih dalam sukan terbabit sejak tiga tahun lalu.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau turut terkejut dengan kejadian yang menimpa atlet yang sangat berpotensi dari Johor itu.

“Arwah adalah atlet sukan para angkat berat dan pernah mewakili Johor ke Sukan Para di Perak dan pada masa sama, beliau menyertai kejohanan yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan.

“Sememangnya pemergian arwah adalah satu kehilangan kepada negeri dan negara kerana potensinya selain sudah berlatih sejak tiga tahun lalu.

“Walaupun beliau bukan di bawah kelolaan PABM, namun semangat dan cinta terhadap sukan angkat berat yang ditunjukkan arwah amatlah kita hargai,” katanya.

Beliau berkata, PABM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan akan menyalurkan bantuan serta sumbangan kepada anggota keluarganya dalam kadar segera.

Muhammad Ata maut akibat melecur 80 peratus pada tubuhnya apabila kediaman ibunya di Taman Pagoh Jaya dekat Muar terbakar.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu, kebakaran berlaku di bahagian dapur rumah berkenaan dan Muhammad Ata yang berseorangan di rumah ketika itu gagal menyelamatkan diri.

Berita berkaitan

Atlet OKU maut kebakaran

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 9:41pm
d