mutakhir

Cari peneman Bung Moktar

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

BARISAN Nasional (BN) mahu kemenangan berpihak kepada calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bagi menemani satu-satunya wakil BN dari Sabah di Dewan Rakyat, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, menjelaskan beliau kasihan melihat Bung Moktar yang kerap turun naik mahkamah sehingga tidak dapat hadir persidangan Dewan Rakyat.

“Kita perlukan suara pembangkang yang kuat dari Sabah tetapi sekarang hanya tinggal seorang saja, Datuk Bung.

“Hari ini, Datuk Bung hari-hari ke mahkamah menguruskan kesnya... kasihan. Siapa mahu ganti dia di Parlimen, Kimanis lah,” katanya pada ceramah BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, di Kimanis, malam tadi.

Jelasnya, Sabah memerlukan wakil pembangkang yang aktif untuk menyuarakan pelbagai isu berkaitan rakyat dan negeri ini.

Antaranya, berkaitan isu pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo dan Pas Sementara Sabah (PSS), selain memperjuangkan nasib rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi.

“Mesti ada suara dalam Dewan Rakyat menuntut projek Pan Borneo disiapkan ikut jadual, mempersoalkan PSS kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri dan memperjuangkan masalah rakyat. Kita perlukan suara pembangkang yang kuat,” katanya.

Tambahnya, calon BN, Datuk Mohamad Alamin, memenuhi ciri-ciri pemimpin yang dikehendaki parti itu untuk membawa suara rakyat Sabah di Parlimen.

“Kita mahu pilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat untuk rakyat. Calon kita semua orang di sini kenal, dia berpengalaman, berpendidikan dan pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan.

“Calon kita masih muda lagi, ada tenaga. Beliau tegas, petah bercakap dan sentiasa memperjuangkan hak serta nasib rakyat di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad dalam ceramah ringkasnya di PDM yang sama malam tadi, mengakui BN tidak mampu kembali menjadi kerajaan walaupun beliau memenangi kerusi Parlimen Kimanis pada PRK berkenaan.

“Saya sedar kalau menang pun tak ubah kerajaan tapi saya janji bawa suara Sabah dan Kimanis. Banyak isu, seperti PSS... saya sangat fobia. Nampak sangat Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak membela nasib rakyat Sabah, sebaliknya bela nasib warga asing.

“Saya akan beritahu Azis Jamman (Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman), hentam dia di Parlimen kerana beri PSS di Sabah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 8:30am
    d