mutakhir

Lori lima tan pindah pesakit

Oleh Hasbi Sidek

SEORANG pesakit yang mengalami obesiti dibawa pulang ke rumahnya di Taman Arowana, dekat Seremban, dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dengan bantuan bomba, malam tadi.

Lelaki berusia 38 tahun dengan berat 289 kilogram itu dipindahkan menggunakan lori berkapasiti lima tan, kira-kira 8 malam.

Ketua Operasi BBP Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba diarahkan untuk membantu selepas pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan HTJ, pada 8.05 malam.

“Kami menerima panggilan untuk khidmat khas kemanusiaan membawa pulang seorang pesakit yang dirawat di HTJ untuk dibawa pulang ke rumahnya di Taman Arowana.

“Seramai 15 petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 ke lokasi. Kemudian, kami meminta bantuan dari BBP Nilai untuk mendapatkan lori 5 tan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, 15 petugas berkenaan mengangkat pesakit menggunakan pengusung sebelum dipindahkan ke dalam lori.

Mohd Syazwan berkata, pemindahan itu selesai kira-kira dua jam kemudian dan pihaknya menamatkan operasi pada 10.02 malam.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 10:18am
d