mutakhir

Tunai upah haji arwah suami

Oleh Siti Rohana Idris

“BUKAN hanya untuk perbelanjaan harian, wang insurans ini saya akan jalankan upah haji untuk arwah suami,” kata Maznah Yacob@Mamat, semalam.

Maznah, 40, menerima tuntutan insurans kemalangan nelayan berjumlah RM153,000 dicarum suaminya, Lazim Yusof, 43, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan pada Mac tahun lalu.

Dia yang berasal dari Kampung Pantai Haji Nik Mat, Tumpat, berkata tuntutan diterima itu dapat digunakan untuk membesarkan tiga anak berusia antara 12 hingga 18 tahun termasuk dua daripadanya masih bersekolah.

“Selepas suami meninggal (dunia), kami empat beranak bingung bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana selama ini bergantung sepenuhnya kepada arwah.

“Pada hari kejadian, dia keluar ke laut dalam keadaan baik seperti biasa dan menjelang tengah hari saya dihubungi seorang rakannya bahawa botnya terbalik...dia pergi (meninggal dunia) secara mengejut.

“Bagaimanapun hidup perlu diteruskan dan saya mula bekerja dengan mengambil upah mencungkil isi kelapa di tempat memproses santan dengan bayaran RM10 untuk 100 biji,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian replika cek di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, Tumpat, semalam.

Penyerahan itu disempurnakan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil yang turut mengagihkan bantuan musim tengkujuh kepada 200 nelayan sekitar Tumpat.

Maznah berkata, selepas ketiadaan suaminya, hidup mereka agak terbeban kerana tiada sumber pendapatan mencukupi namun sebaik dimaklumkan akan menerima tuntutan insurans dicarum arwah, kelegaan mula dirasai.

Menurutnya, bayaran itu sudah dimasukkan ke akaunnya pada Julai lalu itu dan ia dianggap peninggalan arwah suami demi membesarkan semua cahaya mata mereka.

“Selain kegunaan harian dan melaksanakan upah haji untuk arwah suami, saya bercadang untuk membuka kedai runcit dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana arwah suami mengambil langkah tepat dengan mencarum insurans kemalangan kerana kita tidak tahu apa akan terjadi suatu hari nanti,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 11:26am
d