mutakhir

Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan

Oleh BERNAMA

PERINTAH berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir 6 Januari, dilanjutkan sehingga 21 Januari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, dengan penguatkuasaan perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah.

Selain itu, orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan di antara 6 petang dengan 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Ia juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan ESSZONE,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 11:42am
d