mutakhir

Buruh durjana cabul budak ditahan [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

BURUH ditahan selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Sumber polis berkata, suspek lelaki berusia 54 tahun itu diberkas di Kuala Nerus, semalam susulan laporan dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Gong Badak, Disember lalu.

“Laporan dibuat selepas mangsa mendedahkan rahsia diperlakukan suspek kepada keluarganya.

“Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa tinggal di rumah pengasuhnya dan suspek adalah bapa saudara kepada pengasuh berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sumber itu memberitahu, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Terengganu dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

“Proses permohonan reman terhadap suspek dilakukan di Mahkamah Majistrest/ Sesyen Kuala Terengganu, hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Katanya, perintah tahanan reman diperoleh hari ini selama tujuh hari mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 3:16pm
d