mutakhir

GRO pondan pun ada...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan 42 pelayan pelanggan termasuk empat mak nyah dalam serbuan Operasi Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Serbuan dilakukan 36 pegawai dan anggota daripada Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang diketuai Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur Deputi Superintendan Ana Mohamed pada 1.50 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 24 wanita dan tiga pondan warga Thailand, 11 wanita dan seorang pondan dari Vietnam serta seorang wanita warga Filipina berusia antara 19 hingga 40 tahun.

“Polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis serta juruwang dan empat lelaki warga Bangladesh bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan terbabit.

“Malah, kami menahan seorang lelaki berusia 20-an yang mempunyai rekod dikehendaki bagi kes siasatan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata di Selayang,” katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Rusdi berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan saringan air kencing terhadap 68 pengunjung pusat hiburan berkenaan, namun semua individu terbabit didapati negatif dadah.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas resit, peralatan video, selempang, mahkota dan sejumlah wang tunai dalam operasi itu.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992, Seksyen 55B/6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di ibu kota diminta menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam JSJ Kuala Lumpur di talian 03 21460670 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21159999,” katanya.

Difahamkan pusat hiburan itu dipercayai menawarkan khidmat layanan GRO dengan harga serendah RM20 hingga RM10,000.

GRO yang dipilih pelanggan diberikan selempang dan mahkota mengikut harga diberikan.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 4:09pm
d