mutakhir

Kalau sudah rezeki dapat tapah gergasi

Oleh Zaid Salim

PEMANCING berjaya menjinakkan ikan tapah seberat 60 kilogram (kg) menggunakan joran buluh ketika memancing di Sungai Terengganu dekat Kampung Telaga, Kuala Berang, hari ini.

Sabri Sulong, 44, berkata dia hampir terlepas peluang memiliki ikan berkenaan apabila joran buluh sepanjang tiga meter yang diikat pada pokok patah akibat disentap ikan terbabit.

Menurutnya, dia juga menggunakan kaedah taut iaitu meninggalkan joran yang diikat pada pangkal pokok menggunakan umpan anak keli.

“Saya menggunakan tali sebesar jari kelingking sepanjang kira-kira tiga meter dan perambut dawai besi sepanjang 1.5 meter.

“Sebelum ini saya mengambil masa kira-kira satu jam untuk menaikkan ikan tetapi kali ini, kerana joran patah, saya berdepan cabaran dan mengambil masa hampir dua jam untuk menaikkan ikan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Setenge, Kuala Berang, di sini.

Sabri yang mesra dengan panggilan Lan berkata, setiap hari dia akan ke sungai untuk memancing selepas selesai menghantar anak ke sekolah.

“Memang rutin saya ke sungai setiap pagi dan jam 7.30 pagi tadi saya ke sungai untuk memancing sambil melihat taut yang dipasang jam 6 petang semalam.

“Sebaik tiba di sungai, saya dapati joran yang diikat pada pangkal pokok hanya tinggal separuh sebelum ternampak bahagian yang patah terapung di permukaan air,” katanya.

Menurut Sabri, dia cuba mendapat buluh yang terapung dengan menggunakan sampan, tetapi ikan terbabit ‘lari’ ke tengah sungai.

Katanya, dia mengekori ikan berkenaan berpandukan buluh yang terapung di permukaan air sebelum berjaya mencapai buluh berkenaan.

“Memang mencabar untuk menarik ikan berkenaan ke tebing pasir dan saya berusaha selama hampir dua jam.

“Kalau sudah rezeki, joran patah pun tetap dapat juga,” katanya sambil melayani pelanggan yang membeli ikan berkenaan di rumahnya.

Katanya, ikan tapah berkenaan dijual pada harga RM40 satu kg dan berjaya dihabiskan dalam tempoh dua jam.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 5:12pm
d