mutakhir

Dicekup sebelum berpesta dadah

Oleh Shamsul Munir Safini

BELUM sempat berpesta dadah, dua lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Selat, Kepala Batas, 1.45 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 33 hingga 51 tahun ditahan bersama dadah dianggarkan seberat 55.1 gram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,800 hasil pemeriksaan di premis dan badan suspek.

“Barang kes dan kesemua suspek dibawa ke IPDSPU bagi tindakan lanjut.

“Kami percaya dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing suspek juga positif morfin dan methamphetamine.

Katanya, ketiga-tiga mereka direman tujuh hari bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Sek 12(2) dan Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 5:50pm
d