mutakhir

Harapan penjaja Uptown

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lebih 200 penjaja Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota menaruh harapan mereka dapat kembali berniaga di tapak asal bagi menampung kehidupan selepas mendakwa nama mereka tercicir untuk berniaga di tapak baharu.

Sebanyak 128 laporan polis sudah dibuat ke atas Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Dr Tan Yee Kew yang menjadi penaung Bazaria Wangsa Maju yang dikatakan menyebabkan mereka tidak dapat berniaga di tapak asal.

Wakil peniaga, Helmi Jaafar, 47, berkata, akibat tidak dapat berniaga sejak seminggu lalu menyebabkan dia terpaksa menggadai barangan kemas isterinya untuk perbelanjaan sekolah anak.

Menurutnya, dia sudah berniaga beg di tapak lama sejak 2006 dan terkejut apabila namanya tercicir dalam pembahagian tapak baharu yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya juga sudah membuat rayuan kepada DBKL namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas dan kami ini ibarat seperti anak yatim sudah tidak tahu hendak mengadu pada siapa.

“Kami ada lesen perniagaan namun tidak dibenarkan berniaga malah akan dikompaun jika meneruskan perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, hari ini.

Peniaga pakaian, Ahmad Daharul Fitri Muhammad, 47, pula berharap masalah mereka akan didengari Menteri Wilayah Persekutuan kerana dirinya dan rakan lain perlu berniaga untuk menyara keluarga.

“Bagilah peluang kami berniaga kerana di tapak baharu sudah penuh,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah berkata, laporan polis dibuat itu untuk membuktikan mereka adalah peniaga dan bukan orang luar serta dari kumpulan samseng yang membuat protes tempoh hari.

“IKHLAS ingin memastikan dan akan membantu mereka ini supaya dapat berniaga kembali di tapak lama susulan tapak baharu sudah penuh.

“Kita akan bawa isu ini ke pihak Menteri Wilayah Persekutuan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis,” katanya.

tamat

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 8:19pm
d