mutakhir

Derita setengah jam [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

BAYI lelaki berusia setahun empat bulan menahan sakit lebih setengah jam apabila pergelangan tangan kirinya tersepit di tangga bergerak dalam kejadian di sebuah pasar raya di Kota Bahru, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.35 petang itu, bayi terbabit dipercayai sedang bermain pemegang tangga bergerak sebelum tangannya tersepit.

Difahamkan, ketika kejadian ibu bayi terbabit sedang berurusan di sebuah kedai dalam pasar raya itu manakala mangsa dijaga bapanya.

Kejadian itu kemudiannya tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak malam tadi yang mana video menunjukkan ibu bapa dan beberapa orang awam sedang membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.

Pekerja pasar raya berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Huda, 23, berkata, dia mendengar tangisan bayi berkenaan disusuli dengan jeritan orang ramai.

Katanya, dia bergegas ke lokasi kejadian dan melihat bayi malang itu sedang menangis selain mendapati beberapa pekerja pasar raya serta pengunjung cuba membantu.

“Orang awam menutup suis tangga bergerak dan ibu bapa bayi terbabit dilihat berusaha menenangkan anaknya.

“Pihak penyelenggaraan pasar raya membantu mengeluarkan tangan mangsa yang mengambil masa lebih setengah jam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Perdana untuk rawatan lanjut.

Harian Metro difahamkan, bayi terbabit hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 11:53am
d