mutakhir

Ammonia jejas operasi LRA Panchor 3

Oleh Mary Victoria Dass

PENCEMARAN ammonia menyebabkan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Panchor 3 berkurangan sebanyak 20 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pencemaran berkenaan mula dikesan pada 31 Disember 2019.

Menurutnya, ia dipercayai berpunca dari kolam akhir takungan efluen milik industri di Kawasan Perindustrian Segamat II yang memasuki Sungai Kenawar, Sungai Chodan dan seterusnya ke Sungai Muar.

Katanya, pada 1 Januari lalu bekalan air ke kawasan Muar terjejas teruk berikutan Sungai Muar yang juga sumber utama bekalan air di Muar dikesan menerima paras ammonia tinggi iaitu melebihi 2.5 per juta (PPM) dan menyebabkan LRA Panchor 3 terpaksa meminimumkan operasi.

“Antara langkah yang diambil bagi mengurangkan kesan ammonia adalah dengan melepaskan air mentah tambahan dari Empangan Juaseh Segamat sebanyak 440 juta liter sehari (mld).

“Situasi ini juga menyebabkan loji terbabit mengalami pengurangan bekalan air terawat sekali gus tidak dapat memenuhi keperluan permintaan bekalan air semasa kawasan terbabit.

“Maklumat berkaitan masalah itu mula disalurkan kepada orang ramai menerusi sosial media dan laman web rasmi Ranhill SAJ pada 1 Januari lalu dan status pemulihan dikemas kini setiap hari,” katanya menerusi kenyataan media.

Jimmy berkata, Ranhill SAJ turut menggerakkan 10 lori tangki air dalam satu masa bagi memberi bantuan air mengikut keutamaan lokasi terjejas.

Menurutnya, bekalan air kepada kira-kira 35,000 pengguna di sebahagian Muar yang terbabit dengan kesan pencemaran ammonia itu sudah pulih dan pengguna mula menerima bekalan air sepenuhnya pada semalam.

Katanya, kualiti air yang diterima masih dalam proses pemulihan dan terdapat pengguna menerima bekalan air yang keruh.

“Bagaimanapun, bekalan air yang diterima menepati piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ranhill SAJ kini berusaha memastikan kualiti air lebih baik dan proses pemulihan kualiti air bergantung kepada kualiti semasa air mentah di sungai berkenaan.

“Berikutan insiden itu, Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (BAKAJ) dan Ranhill SAJ dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan punca pencemaran dan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang mencemarkan sungai sehingga menyebabkan bekalan air terawat untuk rakyat terputus,” katanya.

Menurutnya, sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan bekalan air boleh hubungi Ranhill SAJ di talian 1 800 88 7474 atau customer.care@ranhill.com.my.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 1:08pm
d