mutakhir

Rezeki air nira, air kelapa

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Cuaca kering yang melanda negeri ini sejak beberapa minggu lalu mampu memberi rezeki kepada peniaga untuk menambah pendapatan mereka.

Peniaga Mohd Amin Abdul Mutalib, 23, berkata keadaan cuaca yang panas membawa rahmat buatnya apabila jualan air kelapa dan nira meningkat lebih tiga kali ganda.

Katanya, jualan kedua-dua air itu mampu mencecah sehingga RM1,000 sehari berbanding hanya RM200, sebelum ini.

“Saya bersama sepupu, Nor Saiful Akmar Zohir, 27, membuka gerai seawal jam 9 pagi dan kami mampu menjual lebih 100 kelapa sehingga bekalan kelapa terpaksa ditambah setiap dua hari.

“Manakala, air nira pula terjual sehingga 160 bungkus berbanding hanya 50 bungkus sebelum ini.

“Ada pelanggan beli sehingga tiga bungkus air nira, malah kedatangan pelanggan juga tidak putus-putus,” katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Langgar, di sini, semalam.

Sementara itu, pekerja kontrak, Amir Azizoh@Azizan, 28, berkata dia membeli air nira selepas menghantar isterinya bekerja di sebuah pasar raya, di sini, setiap hari.

“Saya bekerja di bawah terik matahari menyebabkan badan cepat rasa letih selain tekak juga dahaga.

“Sebab itulah pada waktu tengah hari sebelum menyambung semula kerja, saya akan minum air nira untuk segarkan badan,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 2:32pm
d