mutakhir

Harga bawang masih tak turun

Oleh Redzuan Muharam

HARGA bawang merah masih tidak berubah RM6 sekilogram berbanding RM3 sebelum ini, sekali gus memberi kesan kepada pengguna.

Maklumat itu berdasarkan tinjauan Harian Metro di Pasar Cheras dan Kajang yang menjadi antara lokasi tumpuan pengguna membeli keperluan berkenaan.

Peniaga di Pasar Cheras, M Nadarajah, 63, berkata, buat masa ini, dia hanya menjual bawang merah yang diimport dari Pakistan, Thailand dan China kerana tidak menerima bekalan dari India disebabkan banjir di negara terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kualiti bekalan bawang dari negara terbabit terutama China tidak begitu memuaskan dan kurang digemari pelanggan.

“Bawang India tidak dibawa masuk sebab banjir. Yang ada dari Pakistan, Thailand dan China, tetapi kebanyakannya tak elok, ada yang busuk.

“Pelanggan pun tak suka bawang dari China kerana besar. Ada pilihan lain lebih murah iaitu bawang Belanda yang dijual dengan harga RM3 sekilogram tetapi kebanyakan pelanggan lebih suka bawang India kerana rasanya lebih sedap.

“Tengok macam mana nanti, saya jangka harga kembali seperti dulu (turun) dalam masa sebulan dua lagi,” katanya yang menjalankan perniagaan di Pasar Cheras sejak 30 tahun lalu.

Peniaga di Pasar Kajang, M. Muthu, 51, berkata, pelanggan ada menyuarakan rungutan berhubung kenaikan harga bawang merah, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa.

Ini kerana, katanya kebanyakan peniaga berdepan masalah sama.

Justeru, dia tiada pilihan kecuali menjual bawang diimport dari Pakistan dengan harga RM6 sekilogram.

“Segelintir pelanggan yang datang ke kedai ada bertanya kenapa harga bawang terlalu mahal sekarang.

“Mereka tidak berpuas hati tetapi perkara ini di luar kawalan saya. Setahu saya, berlaku bencana banjir di India yang menyebabkan bawang tidak dieksport ke sini.

“Kesannya harga bawang naik dan diharap keadaan kembali seperti sedia kala,” katanya.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Asha, 49, berkata, dia menyedari peningkatan harga bawang merah sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, dia terkesan dengan keadaan itu dan berharap kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan masalah berkenaan tidak berpanjangan.

“Dahulu sekilogram bawang merah dijual dengan harga RM3 tetapi kini agak tidak munasabah apabila naik sehingga RM6.

“Saya harap harganya turun semula kerana bimbang juga jika kos perbelanjaan bertambah jika berterusan begini,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 2:32pm
d