mutakhir

Tarif air Melaka naik April ini?

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN Melaka akan memuktamadkan kadar kenaikan tarif air di negeri ini menjelang April depan.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata, ketika ini pihaknya sedang berbincang dengan pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berhubung perkara berkenaan sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Katanya, antara fokus yang dibincangkan ketika ini termasuklah mengenai kadar tarif, sama ada perlu dinaikkan atau dikekalkan, selain perkara yang membabitkan infrastruktur.

"Perbincangan masih berjalan dan pihak kementerian meminta negeri membuat keputusan berhubung tarif air sebelum April ini.

"Kita akan buat keputusan sebaik perbincangan selesai," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Mufti Negeri, Datuk Wira Abd Halim Tawil.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar yang sebelum ini memaklumkan semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

Xavier dalam masa sama memberi jaminan kenaikan tarif air itu munasabah, tidak membebankan pengguna dan kadar peningkatan tidak melebihi dua peratus daripada isi rumah.

Sementara itu, Adly berkata, menyedari kadar taburan hujan yang merosot dengan ketara, Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) perlu berganding bahu mencari kaedah terbaik untuk memastikan bekalan air yang mampan selain kaedah menangani gangguan air.

Beliau berkara, ia termasuk memastikan tender pembinaan Empangan Air Sungai Jernih di Taboh Naning, Alor Gajah yang tertangguh lebih empat tahun dapat dimulakan kembali tahun ini, manakala projek pembinaan sistem takungan air atau Off River Storage (ORS) Tasik Biru, di Chinchin, Jasin, juga dapat dilaksanakan tahun ini.

"Langkah itu berupaya menampung keperluan bekalan air penduduk dengan merencana ORS Tasik Biru dapat menyalurkan bekalan air ke Empangan Durian Tunggal.

"Pada masa sama, kita juga berikhtiar untuk mencari sumber air baharu termasuk air bawah tanah bagi menampung bekalan air sedia ada untuk jangka panjang," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 2:38pm
d