mutakhir

Bomba 'bersih' makmal sekolah

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

STOR makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seri Maharaja Lela, Kampung Gajah dekat Seri Iskandar terpaksa dibersihkan bomba berikutan tumpahan asid sulfurik dan lysol, hari ini.

Dua bekas masing-masing berisi 2.5 liter bahan kimia itu yang diletakkan di atas rak didapati pecah pada 9.50 pagi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Mohd Ikhsan Mohd Ibraham berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 9.55 pagi dan mengarahkan empat anggota bersama jentera ke lokasi.

Katanya, operasi turut dibantu sembilan anggota Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Puteh, Ipoh.

“Tumpahan cecair berkenaan disedari guru sekolah itu yang terhidu bau tengik di stor makmal terbabit dan menghubungi bomba untuk bantuan lanjut.

“Pasukan HAZMAT yang tiba membuat identifikasi masalah serta pemeriksaan di lokasi kejadian, seterusnya membuat ‘neutralising’ bahan berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.

“Bahan itu kemudian dialih dan diletakkan dalam sebuah bekas, bomba turut membuat pengudaraan (ventilation) di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ikhsan berkata, kawasan berkenaan kemudian disahkan selamat dan operasi tamat pada 2 petang.

“Kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada guru dan pelajar,” katanya

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 3:55pm
d