mutakhir

Tiga pelancong China tak cop pasport disiasat

Oleh Norasikn Daineh dan Suzianah Jiffar

Kota Kinabalu: Tiga lagi pelancong warga China ditahan di Lapangan Terbang Tawau selepas pasport mereka didapati tidak dicop ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dalam satu kejadian terbaharu membabitkan ketibaan antarabangsa, baru-baru ini.

Susulan kejadian itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kini sedang menyiasat bagaimana perkara itu berlaku.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, dia dimaklumkan berhubung perkara itu oleh Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin.

“Ketiga-tiga pelancong China itu masih belum selesai disiasat oleh pihak berkuasa Jabatan Imigresen di Tawau.

“Pengarah memberi jaminan kepada saya bahawa ketiga-tiga mereka akan dibebaskan jika didapati tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dalam Alam Sekitar negeri berkata, pihaknya juga sudah berhubung dengan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide.

Pelancong itu tiba di Kota Kinabalu pada 1 Januari lalu dan berlepas ke Tawau pada hari yang sama. Mereka dijadualkan kembali ke Hong Kong hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika diminta mengulas berhubung kejadian itu berkata, pihaknya akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenainya.

“Saya akan melihat dulu perkara ini kerana belum menerima sebarang maklumat mengenainya dan saya akan lihat apa sebenarnya masalahnya yang perlu kita tambah baik, kita akan tambah baik perkara ini.

“Saya akan memanggil pihak berkaitan untuk bertanya masalah dalam perkara ini dan mengapa ia boleh berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 4:43pm
d