mutakhir

'Banyak lagi kerja lebih penting'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PEMIMPIN politik diingatkan tidak membesarkan isu peletakan jawatan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan perlu menghormati keputusan itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, semua pihak seharusnya berusaha memberi tumpuan dalam menangani isu negara yang lebih besar berbanding isu bekas menteri berkenaan.

"Saya percaya Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan memilih pengganti yang sesuai untuk menjawat jawatan berkenaan (Menteri Pendidikan).

"Malah, saya menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan perkara ini demi kebaikan semua pihak," katanya, hari ini.

Rina ditemui pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja sempena pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Sungai Besar, hari ini.

Media pada 2 Januari lalu melaporkan Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas kira-kira 20 bulan memegang jawatan berkenaan atas nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Rina yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan beliau akan bertanding bagi mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, beliau memutuskan untuk mempertahankan jawatan itu kerana banyak agenda berkaitan wanita perlu dilaksanakan.

"Untuk makluman, saya ingin mempertahankan jawatan sedia ada kerana masih banyak lagi agenda berkaitan wanita yang ingin dilaksanakan," katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, BERSATU akan mengadakan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian yang dijadualkan berlangsung 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan.

BERSATU menetapkan 20 Jun ini bagi mengadakan mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan serentak dengan pemilihan parti.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 5:50pm
d