mutakhir

Sumber air terjejas di Kerian

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

SEBAHAGIAN besar kawasan di Kerian, Perak mengalami masalah gangguan bekalan air bermula 8 pagi tadi selepas sumber air mentah kepada kira-kira 19,000 penduduk, tercemar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pertanian dan Peladangan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air (LRA) Jalan Baru di Parit Buntar sukar untuk diproses.

Katanya, hasil siasatan, air di loji itu tidak dapat diproses kerana sumber air dari Terusan Besar yang disalurkan dari Tasek Bukit Merah merosot.

“Oleh itu, Lembaga Air Perak (LAP) memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuka pintu air di Pekan Batu 5 bagi membolehkan air terusan mengalir dan memulihkan kualiti air di dalam terusan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Yunus berkata, sebagai langkah mitigasi, operasi loji diberhentikan buat sementara waktu sehingga kualiti air mentah kembali pulih.

Beliau berkata, ia menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan seperti Parit Buntar, Tanjung Piandang, Bagan Tiang dan Kuala Kurau yang membabitkan kira-kira 19,000 akaun pengguna.

Katanya, bagi kawasan Kuala Kurau air disalur dari LRA Semanggol, manakala air dibekalkan melalui lori tangki di kawasan lain yang terbabit bagi memastikan pelanggan menerima bekalan air yang selamat.

“Sehingga kini kualiti air mentah dipantau dan menunjukkan terdapat peningkatan kualiti dan LRA akan beroperasi sebaik sahaja kualiti air terusan kembali normal,” katanya.

Abdul Yunus berkata, LRA Jalan Baru berkapasiti 50 juta liter sehari (JLH) membekalkan air bagi tiga bandar utama daerah Kerian iaitu Parit Buntar, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Menurutnya, dalam keadaan biasa LRA itu membekal air sekitar 26 JLH.

Katanya, dalam keadaan tertentu, JPS akan mengepam air dari Sungai Samagagah iaitu anak Sungai Kerian ke dalam Terusan Besar, melalui rumah pam Sungai Bogak.

“Juga jika perlu JPS akan mengepam air dari Sungai Kurau ke Terusan Besar,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 11:59am
d