mutakhir

Gagal seludup 1,060 burung

Oleh Melvin Joni

KUCHING: Cubaan menyeludup 1,060 burung pelimang dan murai batu ke Indonesia melalui jalan tikus di Tebedu digagalkan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Rampas dianggarkan bernilai RM855,000 itu dilakukan dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan 11 pegawai dan anggota dari Batalion 11 PGA bersama empat pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kira-kira 1 petang selepas atas risikan dan maklumat yang diperolehi.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Superintendan Rosdi Inai berkata, pasukan operasi turut menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun yang mengaku sebagai pemilik burung terbabit.

"Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun kerana cuba memberi suapan kepada pasukan operasi sebanyak RM7,000 sebagai balasan untuk tidak menahan wanita terbabit," katanya pada sidang media di ibu pejabat PGA Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diperoleh, haiwan berkenaan dipercayai akan diseludup ke Indonesia dan dipasarkan di negara itu kerana permintaan dan harga yang tinggi.

Rosdi berkata, kes diserah kepada SFC untuk siasatan mengikut Seksyen 29 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 dan penjara satu tahun.

Manakala bagi kesalahan memberi suapan kepada penjawat awam, kes diserah kepada SPRM untuk disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh membawa hukuman denda minimum lima kali ganda suapan atau denda RM10,000 atau penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 1:56pm
d