mutakhir

Lari tinggalkan bubu naga

Oleh Mohd Sabran Md Sani

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat merampas 24 unit bubu naga di perairan Sungai Ayam dekat Batu Pahat hari ini.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, peralatan menangkap ikan yang dilarang penggunaannya itu dirampas dalam rondaan di kawasan terbabit kira-kira 12 tengah hari.

“Ketika bot melakukan rondaan rutin, mereka mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bersama dua awak-awak sedang memasang bubu naga.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek serta meninggalkan bubu naga itu bagi mengelakkan ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bubu naga diharamkan penggunaannya dan termaktub dalam Akta Perikanan 1985.

“Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan sumber perikanan kerana sifatnya yang tidak selektif, selain turut memerangkap anak ikan komersial sekali gus menjejaskan hasil pendapatan nelayan pantai.

“Semua bubu naga dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk dilupuskan,” katanya.

Beliau berkata, nelayan diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 3:07pm
d