mutakhir

Rahsia 'gelap' rumah sewa, kedai runcit [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

BERSELINDUNG di sebalik rumah sewa dan premis kedai runcit di Bandar Seri Pengkalan, Batu Gajah sebagai ‘port’ rahsia untuk menyimpan rokok seludup gagal apabila dikesan pihak polis.

Serbuan jam 10.30 hingga 11.15 malam semalam di dua lokasi itu berjaya menemui 13,920 kotak rokok pelbagai jenama berjumlah hampir RM180,000 termasuk cukai.

Malah, tiga lelaki warga Bangladesh yang menjalankan kegiatan menyimpan dan menjual rokok berkenaan turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menjalankan serbuan di kedua-dua lokasi itu selepas menjalankan risikan selama enam bulan.

Katanya, kesemua rokok yang dirampas di dua lokasi yang terletak dalam jarak 100 meter itu dianggarkan bernilai RM18,851 dengan nilai cukai kastam sebanyak RM157,407.

“Kedai runcit sudah beroperasi kira-kira 10 tahun dan hasil siasatan sasaran jualan rokok adalah kepada pekerja asing yang bekerja di sekitar kawasan itu.

“Ketiga-tiga warga Bangladesh itu ditahan untuk siasatan dan salah seorang daripada mereka berusia 46 tahun dipercayai pemilik premis dengan menggunakan lesen perniagaan isterinya warga tempatan.

“Manakala, dua lagi lelaki berusia 35 dan 36 tahun pula dipercayai sebagai pekerja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan bagi mengetahui dari mana mereka memperoleh bekalan rokok berkenaan.

Menurutnya, kesemua suspek direman 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 3:21pm
d