mutakhir

Pelantikan Menteri Pendidikan prerogatif PM [METROTV]

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan menentukan pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu kerana ia adalah prerogatifnya.

“Akan ditentukan oleh saya kerana itu adalah prerogatif saya,” kata beliau ketika ditanya media mengenai pelantikan Menteri Pendidikan selepas Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan pada 2 Januari lalu.

Dr Mahathir memberi reaksi itu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada peletakan jawatan Maszlee disebabkan cubaannya untuk membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman seperti dilaporkan, Dr Mahathir berkata, ia tiada kena mengena dengan perkara itu.

Beliau berkata, terdapat banyak sebab yang membuatkan beliau berpendapat adalah perlu untuk Maszlee meletak jawatan.

“Surat yang saya tulis kepada beliau disebarkan kepada umum oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Seperti yang anda dapat lihat ada banyak sebab. Saya tidak kata semua yang beliau lakukan adalah salah.

“Terdapat beberapa perkara yang beliau lakukan adalah betul, tetapi atas sebab-sebab yang lain, saya berpendapat adalah perlu untuk beliau meletak jawatan, beliau bersetuju dan beliau meletak jawatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 4:17pm
d