mutakhir

PSS ibarat 'permaidani merah' untuk PATI - UMNO

Oleh Olivia Miwil

PELAKSANAAN Pas Sementara Sabah (PSS) ibarat menyediakan ‘permaidani merah’ untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal selesa di Sabah, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau menyifatkan pemberian PSS kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci berkuat kuasa 1 Jun ini adalah masa depan yang suram bagi Sabah.

Katanya, mereka yang memiliki PPS akan menggunakan elektrik dan air secara haram serta merompak barang bersubsidi daripada rakyat yang layak.

“Rakyat Sabah sudah bergelut dengan pelbagai insentif seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), subsidi nelayan dan biasiswa serta elaun yang dipotong di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh itu, ini adalah peluang untuk rakyat Kimanis, yang mewakili 30 juta rakyat Malaysia, untuk menghantar mesej kepada pemimpin yang menyebabkan rakyat menderita,” katanya.

Abdul Rahman menyuarakan pandangan itu ketika berkempen untuk Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Kampung Bawan, Membakut di Kimanis malam tadi.

Beliau berkata, pengenalan PSS juga tiada dalam manifesto Parti Warisan Sabah (WARISAN), bahkan beliau sendiri membaca 13 manifesto parti itu tetapi tidak ada yang menyebut mengenai PSS.

“Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mereka main ‘tapuk-tapuk’ (sembunyi).

“Daripada (Ketua Menteri) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke Datuk Darell Leiking dan kepada Datuk Karim, tiada seorang pun daripada mereka bercakap mengenainya,” katanya.

Abdul Rahman menyifatkan WARISAN membuat satu pembohongan besar kepada pengundi ketika PRU-14 kerana tidak menyebut mengenai isu yang dianggap sebagai ancaman kepada Sabah dalam soal keselamatan, ketersediaan pekerjaan dan peluang pendidikan.

Walaupun sudah memanggil parti pembangkang tempatan untuk berbincang mengenai pelaksanaan PSS, beliau berkata, tiada dalam kalangan pembangkang yang dapat menghentikan pelaksanaannya.

Malah, katanya, kerajaan sepatutnya membincangkan isu itu sebelum mengumumkan bahawa PSS akan dilaksanakan pada 1 Jun ini.

“Mereka tidak mendengar kerana mereka adalah kerajaan. Satu-satunya cara ialah rakyat Kimanis memberi mereka ‘tamparan politik’ melalui PRK ini.

“Jika tidak, ini bermakna satu undi untuk calon WARISAN (Datuk Karim Bujang) juga adalah satu undi untuk PSS,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 5:06pm
    d