mutakhir

319 anggota polis 'bolos' [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 319 anggota polis direkodkan tidak hadir bertugas dan gagal dikesan (bolos) oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Selangor pada tahun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sepanjang tempoh itu, JIPS Selangor berjaya menyelesaikan 297 kes dan menjadikan 22 kes yang tinggal.

“Selain itu, JIPS Selangor turut memeriksa 578 pegawai kanan, 12,053 pegawai rendah dan 231 pegawai awam bagi memastikan tugas seharian dijalankan peraturan dan arahan.

“Daripada jumlah itu, seramai 115 anggota diambil tindakan mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Awam, Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Awam (62 anggota), Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Awam 1993 (80 anggota), manakala 227 anggota lagi diberikan surat teguran selain 201 anggota diberi nasihat secara lisan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Noor Azam berkata, pencapaian sepanjang tahun lalu menunjukkan JIPS berada di landasan yang kukuh dalam konteks pengukuhan governans, integriti dan antirasuah sejajar dengan agenda kerajaan.

“Antara pencapaian JIPS Selangor pada tahun lalu ialah mencapai 99.8 peratus perisytiharan harta warganya serta menjalankan siasatan khas secara selari Op Blue Devil dengan tangkapan seramai 33 pegawai serta anggota,” katanya.

Sementara itu, Ketua JIPS Selangor Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, kebanyakan pegawai dan anggota yang ‘bolos’ terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah hingga mendorong mereka menyalahgunakan kuasa, peras ugut dan rasuah.

“Kami ada merekodkan kes bolos paling lama iaitu tujuh tahun. Bila mereka bolos dan tidak dapat dikesan, tindakan perlu diambil termasuk buang kerja untuk memberi pengajaran kepada yang lain

“Malah, tidak nafikan ada sebahagian mereka tidak berminat dengan tugasan yang diberikan dan kami sememangnya tidak mahu anggota terdiri daripada mereka yang disabit kesalahan jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 5:23pm
d