mutakhir

PRK Kimanis: WARISAN tetap lantang suarakan hak Sabah

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menekankan beliau komited memastikan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pimpinannya lantang menyuarakan hak rakyat Sabah kepada kerajaan Pusat.

Jelasnya, pendirian itu tidak menjejaskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan parti dalam negara.

Pada masa sama, kerjasama itu tidak akan mengubah pendirian dan pendekatan WARISAN dalam memperjuangkan hak rakyat negeri ini.

“Saya mahu WARISAN lantang menyuarakan hak Sabah tapi kita tetap bekerjasama dengan PH sebab kita dalam satu negara.

“Bagaimanapun, kita kena bijak dalam kerjasama itu, jangan kita ditekan,” katanya ketika menemui penyokong WARISAN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) WARISAN Simpangan, Ulu Kimanis,hari ini.

Sementara itu, beliau mempersoalkan rasional untuk mengenang jasa UMNO selepas keahliannya dalam parti itu digantung pada Jun 2016.

Jelasnya, tidak logik bagi seseorang yang dikenakan hukuman gantung untuk mengenang jasa parti yang mengenakan hukuman itu.

“Jasa apa UMNO yang saya harus kenang sedangkan saya digantung parti itu. Kalau ada orang yang kenang jasa selepas dia digantung, bagus itu,” katanya menjawab tuduhan pemimpin UMNO yang mengatakan beliau tidak mengenang jasa selepas sekian lama berada dalam parti itu.

Bekas Naib Presiden UMNO itu digantung keahlian dalam UMNO sebelum beliau membuat keputusan keluar parti dan menubuhkan parti berasaskan Sabah, iaitu WARISAN.

Mohd Shafie berkata, pemimpin UMNO hanya pandai membuat tuduhan termasuk mengatakan kerajaan pimpinan WARISAN gagal selepas setahun lebih memerintah dengan membandingkan pencapaian BN selama 60 tahun.

“Mereka memerintah 60 tahun tapi kata kita pula gagal sedangkan baru setahun lebih memerintah, logikkah itu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya pengundi kawasan ini tidak perlu memberi peluang kepada UMNO dan BN, sebaliknya menyokong calon WARISAN, Datuk Karim Bujang bagi membolehkan suara rakyat Sabah diperkuatkan lagi.

Dalam hal lain, Mohd Shafie berkata beliau sudah meminta peguam menghantar surat kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berhubung kenyataannya mengatakan PRK Kimanis sebagai pertarungan di antara Malaysia dan Filipina.

Filipina yang disebut dalam kenyataan itu dipercayai merujuk kepada WARISAN, manakala Malaysia ialah BN.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 6:14pm
    d