mutakhir

Pembunuhan Soleimani tingkatkan keganasan dunia - PM

Oleh Hairulazim Mahmud

KEGANASAN dunia semakin memuncak, lebih-lebih lagi dengan pembunuhan komander tertinggi tentera elit Iran, Qasem Soleimani oleh Amerika Syarikat (AS) di luar sempadan Iran, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, seperti pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di luar sempadan negaranya, tindakan AS membunuh pemimpin negara lain merentasi sempadan, kedua-duanya adalah tindakan tidak bermoral.

“Ia amat menyalahi undang-undang, kita sekarang sudah tidak selamat lagi kerana sekiranya sesiapa menghina atau berkata sesuatu yang tidak disukai orang lain, tidak menjadi kesalahan bagi seseorang menghantar pesawat dron dan menembaknya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 11 Bilangan 1 Tahun 2020 di Putrajaya, hari ini.

Soleimani, ketua tentera elit Quds, Kor Pengawal Revolusi Iran terbunuh dalam serangan udara AS pada awal pagi Jumaat berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad.

Pembunuhan Soleimani menyebabkan ketegangan memuncak secara mendadak antara AS dan Iran, yang sering berlaku sejak Donald Trump memilih untuk menarik diri daripada pakatan nuklear dengan Tehran pada 2018.

Sementara Khashoggi, 59, penulis Washington Post dibunuh di Istanbul, Oktober tahun lalu dengan mayatnya dipotong-potong oleh skuad 15 orang dalam Konsulat Arab Saudi dan tidak pernah ditemui.

Dr Mahathir berkata, kini tiba masanya negara-negara Islam bersatu.

Bagaimanapun, kata beliau, walaupun itu adalah tindakan yang betul, namun negara Islam tidak pernah bersatu sehingga kini.

“Kerana itu, kita dapati tindakan membunuh sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang boleh dilakukan oleh lelaki yang berkuasa dengan melanggar undang-undang negaranya dan dunia. Pada masa ini, kita tak boleh buat apa-apa,” kata beliau.

Trump yang juga Presiden AS berkata, komander tertinggi tentera elit Iran terbabit dibunuh adalah untuk ‘menghentikan peperangan’ bukan memulakannya kerana didakwa bertanggungjawab merancang operasi ketenteraan serantau Tehran.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 6:39pm
d