mutakhir

Pemandu Grab wanita dipukul, disamun

Oleh Juwan Riduan

SEORANG pemandu Grab wanita cedera di kepala dan muka disamun penumpang lelaki di Kinarut hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa wanita berusia 59 tahun dikatakan mengambil seorang penumpang di pekan Inanam.

Sumber berkata, suspek menempah perkhidmatan Grab untuk ke Karamunsing.

“Sebaik tiba di destinasi, suspek meminta supaya mangsa menghantarnya di Kinarut.

“Ketika tiba di Kinarut, suspek bertindak memukul belakang kepala dan muka mangsa sebelum meninggal mangsa di tepi jalan Kampung Gana, Kinarut,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, suspek melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi milik mangsa bersama barangan peribadi.

“Penduduk kampung yang melihat keadaan mangsa berlumuran darah kemudian menghubungi pihak polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa sudah dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Kita percaya dalam masa terdekat suspek akan dapat diberkas,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 394/379 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 8:05pm
d