mutakhir

Pelajar sekolah dikompaun merokok

Oleh Melvin Joni

EMPAT pelajar sekolah antara enam remaja bawah umur yang dikenakan tindakan kerana merokok di premis makan di Sarawak.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, mereka dikompaun mengikut Peraturan 13(1) iaitu larangan merokok dan sebagainya kepada Orang Belum Dewasa (OBD) di bawah umur 18 tahun.

"Empat adalah pelajar sekolah dan mereka dirujuk kepada sekolah masing-masing, manakala dua lagi lepasan sekolah.

“Mereka dikompaun sebanyak RM50 dan tiada pengurangan kerana kita tidak mahu berkompromi dengan perokok bawah umur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jamilah berkata, secara keseluruhan sebanyak 174 notis kesalahan dikeluarkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM42,300 dalam tempoh penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan di Sarawak setakat 1 hingga 6 Januari ini.

Katanya, kompaun yang dikeluarkan hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan ke atas 3,867 premis makan.

Menurutnya daripada 174 notis kesalahan itu, sebanyak 137 notis dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2018) iaitu kesalahan merokok di tempat makan, 26 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a) iaitu pemilik premis gagal mempamerkan tanda dilarang merokok dan lima notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu pemilik premis menyediakan kemudahan merokok.

Justeru katanya, individu atau pemilik premis yang menerima notis kesalahan perlu menjelaskan kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah yang terdekat dalam tempoh tidak melebihi dua bulan dari tarikh izin kompaun diterima.

"Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan dalam tempoh satu bulan.

"Manakala bagi kesalahan kedua pula, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

"Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya," katanya.

Beliau menegaskan kegagalan membayar kompaun dalam tempoh melebihi dua bulan, tindakan mahkamah akan diambil dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11(1)(d).

Manakala kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a), pemilik premis jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan dan di bawah Peraturan 12(1)(b) pula, jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 8:09pm
d