mutakhir

Motivasi ke sekolah

Oleh Suliati Asri

TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd membawa keceriaan kepada murid sekolah kurang bernasib baik melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Beg Terus Senyum (BTS).

BTS diberikan pada hari pertama persekolahan iaitu 2 Januari lalu kepada lebih daripada 500 murid di Sekolah Angkat Tesco antaranya SK Taman Midah 2, Sk Sungai Ara dan SK Banggu.

Dilancarkan semasa kempen Tesco School Shop baru-baru ini, BTS inisiatif dan komitmen peruncit membantu murid kurang bernasib baik daripada keluarga bawah 40 (B40) melalui rangkaian 63 sekolah angkatnya.

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco, Azliza Azmel berkata, sejak ditubuhkan pada 2016, pihaknya sudah melabur RM4.5 juta di sekolah angkat dalam pelbagai program yang menyokong Perkembangan Akademik, Kesedaran mengenai Kesihatan dan Pemakanan serta Alam Sekitar.

“Di Tesco, kami sangat yakin dapat memberi kesan positif kepada komuniti dan setiap sen yang dimasukkan ke dalam Program Sekolah Angkat adalah pelaburan untuk anak-anak dan masa depan negara,” katanya.

Guru Besar SK Taman Midah 2, Mohd Faisal Mohd Salih berkata, bantuan dihulurkan menerusi program BTS itu ternyata membawa kegembiraan kepada murid terpilih di sekolahnya.

Katanya, pihaknya berbesar hati tersenarai sebagai sebahagian daripada Program Tesco School Adoption memandangkan ramai dikalangan muridnya mendapat manfaat dan BTS antara satu daripadanya.

“Saya yakin program BTS ini menjadi antara perkara yang paling manis dalam hidup mereka terutamanya yang datang daripada kalangan kurang bernasib baik dan mampu menjadi pendorong untuk mereka terus maju dalam akademik tahun ini,” katanya.

Tesco turut bekerjasama buat kali kedua dengan rakan kongsi serta pembekal, Unilever Malaysia untuk Tesco Unilever Back To School Fund.

Sama seperti tahun sebelumnya, dana sebanyak RM100,000 dapat dikumpul menerusi pembelian produk Unilever oleh pelanggan di Tesco sepanjang kempen berlangsung dari 21 November hingga 4 Disember lalu.

Untuk setiap pembelian sebanyak RM35 dari mana-mana produk Unilever dalam tempoh kempen itu, RM1 disumbangkan kepada dana terbabit.

Seramai 600 murid di 33 Sekolah Angkat Tesco menerima baucar Tesco Unilever Back To School Fund berjumlah RM150 seorang, sekali gus membolehkan membeli barangan keperluan sekolah termasuk pakaian seragam, kasut, alat tulis dan banyak lagi.

Guru Besar SK Seri Setia Sarimah Ahmad berkata, bantuan daripada Tesco dan Unilever itu adalah hadiah terhebat buat kanak-kanak ini kerana ia bukan saja akan membantu dalam akademik tetapi turut menaikkan semangat dan keyakinan mereka.

“Kebanyakan murid ini datang daripada kalangan keluarga B40 berasa malu setiap awal tahun persekolahan kerana keluarga tidak mampu membelikan pakaian seragam, buku dan keperluan lain.

“Ada juga antara mereka yang tidak hadir ke sekolah disebabkan masalah ini. Jadi, dengan bantuan dihulurkan menerusi Tesco dan Unilever ini, saya berharap masalah ini tidak akan berulang tahun ini,” katanya.

Diasaskan oleh PINTAR Foundation, Program Sekolah Angkat ini adalah program perkongsian bersama pihak korporat untuk menjadikan sekolah terpilih sebagai sekolah angkat bagi meningkatkan dan memperbaiki mutu pembelajaran pelajar.

Tesco mula menjalinkan kerjasama dengan PINTAR Foundation pada 2016 dan kini mempunyai sebanyak 63 sekolah angkat dengan manfaat kepada seramai 57,000 pelajar.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 6:01am
d