mutakhir

Kantoi seludup ayam sejuk beku

Oleh Syaherah Mustafa

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 1,100 kotak ayam sejuk beku bernilai RM104,200 yang dibawa masuk dari Thailand di Kampung Hutan Puteh, dekat Machang, Rantau Panjang, semalam.

Pengarah MAQIS Negeri Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, operasi dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Kelantan pada 2.45 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati ayam sejuk beku terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah seperti permit import daripada MAQIS serta tiada sijil kesihatan dari negara asal.

Katanya, selain itu, tiga lori yang membawa ayam sejuk beku turut disita untuk tindakan lanjut.

“Kesemua barang rampasan ini dipercayai untuk pasaran sekitar Kelantan dan saya tidak menolak kemungkinan ia juga untuk pasaran negeri lain.

“Ada pihak yang membawa keluar ayam sejuk beku dari negara jiran kerana mahu mengaut keuntungan dengan cara mudah,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Azam berkata, ada sesetengah daripada mereka masih menjalankan kegiatan sama, walaupun sudah beberapa kali ditahan.

“Melalui kerjasama erat pihak MAQIS bersama agensi penguatkuasaan sempadan yang lain, saya yakin aktiviti membawa masuk barang tanpa dokumen sah yang berlaku di sempadan ini akan dapat dikawal,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama,

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 1:44pm
d