mutakhir

Didakwa 'songlap' duit pelanggan

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

DUA kerani sebuah firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan hasil pembayaran pelanggan berjumlah lebih RM42,000, tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Siti Ain Zubaidah Sharif, 29, dan Nurhaila Yahya, 28, didakwa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, mereka sebagai kerani 'convencing' melakukan pecah amanah dengan curangnya mengambil harta iaitu wang tunai kutipan hasil pembayaran pelanggan bernilai RM42,986 antara April hingga November tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat firma guaman itu di Taman Paya Rumput Indah, Melaka.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan maksimum 14 tahun, dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

Norma kemudian membenarkan kedua-dua wanita itu diikat jamin RM10,000 setiap seorang selain menetapkan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 2:44pm
d