mutakhir

PRK Kimanis: Jualan ikan bilis curi tumpuan

Oleh Norasikin Daineh

PENJUALAN produk ikan bilis, termasuk ikan bilis mata biru di sepanjang jalan di Kampung Batu 30, Kimanis, Papar mencuri tumpuan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Tinjauan Harian Metro mendapati, ada lebih 10 deretan gerai menjual produk terkenal di Kimanis itu, selain pelbagai jenis makanan kering lain seperti ikan kering, udang kering, kuih dan keropok tradisional.

Peniaga, Sukma Hasan, 44, tidak menolak bahang PRK ketika ini akan memberi kesan kepada peniaga ikan bilis dan juga makanan kering di kawasan berkenaan.

“Setiap kali musim cuti sekolah atau hujung minggu deretan gerai kami sering menjadi tumpuan orang ramai yang ingin membeli ikan bilis Kimanis.

“Jadi sepanjang kempen (PRK) ini, gerai kami menjadi tempat persinggahan untuk mencari buah tangan itu, terutama membabitkan jentera kempen yang bukan berasal dari sini,” katanya ketika ditemui di gerainya, semalam.

Menurut Sukma yang sudah 10 tahun berniaga di Kimanis, ini adalah kali pertama diadakan pilihan raya kecil di situ.

Katanya, ikan bilis yang dijualnya berharga serendah RM25 bagi setiap satu kilogram untuk jenis ikan bilis bulat dan boleh mencecah sehingga RM65 bagi ikan bilis mata biru.

Seorang lagi peniaga, Basri Mutra, 40, mengakui ada pelanggan yang datang membeli produk ikan bilis daripada mereka yang terbabit dalam kempen PRK Kimanis.

“Ada juga datang tetapi tidaklah ramai, mungkin disebabkan baru beberapa hari kempen bermula.

“Tapi saya jangka, deretan gerai kami akan jadi tumpuan menjelang hujung minggu ini kerana kempen sudah rancak berlangsung pada ketika itu sebelum hari mengundi pada 18 Januari ini,” katanya.

Basri yang juga pengundi kawasan parlimen itu berkata, selain menjual ikan bilis, dia juga turut menjual pelbagai kuih kering tradisional yang terkenal di sekitar daerah ini.

“Antaranya kuih cincin dan keropok amplang. Jadi datanglah singgah ke gerai kami sekiranya ingin merasai keenakan makanan tradisional di Kimanis,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 3:05pm
    d