mutakhir

Orang Asli sertai bomba Kedah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA Orang Asli suku Semai antara 82 anggota baharu yang memulakan perkhidmatan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, bermula hari ini.

Edaziana Matoyam, 23, dari Tapah, Perak berkata, tidak menyangka akhirnya ditauliah sebagai anggota pasukan keselamatan itu, apatah lagi latihan dilalui menguji mental dan fizikal.

“Nampak mudah, tapi banyak cabaran yang perlu saya dan rakan-rakan harungi ketika menjalani latihan selama dua minggu.

“Tugas paling mencabar ketika melakukan operasi menyelamat.

“Saya juga tetap rasa gementar menjalani ujian lasak di hutan dan berenang di pulau walaupun aktiviti begitu sinonim dengan Orang Asli,” katanya ketika ditemui pada majlis tamat latihan di Alor Setar.

Edaziana berkata, selepas ini mereka akan ditempatkan di beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Kedah.

Sementara itu, rakannya, Mohamad Irfan Zakian, 20, berkata, antara cabaran dihadapi mereka adalah mendaki empat jam di Gunung Jerai selain ke Pulau Bidan, Yan untuk latihan jati diri dan mencari sumber makanan melalui ikhtiar hidup.

Dalam pada itu, Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berharap semua 82 anggota terpilih bertugas di negeri itu dapat memberikan perkhidmatan terbaik.

Beliau turut menasihati anggota itu supaya menerap sikap jujur dan amanah ketika bertugas bagi mengelak tindakan tatatertib.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 3:07pm
d