mutakhir

Lima kali diminta pindah

Oleh Ramli Ibrahim

“SAMPAI bila kami terpaksa berpindah dan dihalau pekebun sayur kerana tanah kami duduki tidak diwartakan,” kata Bakri Basiman, 43, di Kampung Bahong, Lojing, Gua Musang, dekat sini.

Dia mengakui tinggal di kampung itu sejak 20 tahun lalu bersama hampir 100 penduduk lain membabitkan 23 keluarga sudah empat kali berpindah.

Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik rumah yang dibinanya itu diperbuat daripada kayu dan zink terbuang dan dia tidak menanggung kerugian besar walaupun terpaksa diroboh.

Dia berkata, memang kampung itu diwujudkan lebih 30 tahun lalu oleh Orang Asli sebelum ada kebun sayur malah Jalan Gua Musang-Lojing belum dibina.

“Kini kampung kami dikelilingi kebun sayur yang diusahakan syarikat dari luar Kelantan hingga menjejaskan kehidupan kaum kami di sini.

"Tak tahulah bila masalah ini berakhir selagi kerajaan tidak mewartakan tanah kampung itu untuk penempatan kami yang kekal," katanya ketika ditemui di Kampung Bahong, hari ini.

Bakri berkata, kini penduduk menunggu perpindahan kali kelima tidak lama lagi kerana sudah ada pekebun sayur menemuinya menyatakan perkara itu baru-baru ini.

Dia berkata, penduduk minta perkara itu ditangguh dulu kerana mereka perlu mencari tapak sesuai bagi pembinaan rumah baru.

"Kalau boleh kita mahukan jarak rumah penduduk dengan kawasan kebun sayur itu lebih jauh sedikit bagi mengelak bau busuk baja dan terdedah semburan racun serangga," katanya.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Muhammad Izrul Raziz Mat Isa, 35, berkata, penduduk tidak boleh menghalang atau berkeras berhubung perkara itu.

Katanya, ini kerana penduduk Orang Asli menumpang penggunaan air bersih daripada paip disediakan pekebun sayur terbabit.

"Kami ada menikmati bekalan elektrik 24 jam tetapi bekalan air bersih belum disediakan kerajaan hingga menimbulkan banyak masalah dalam kehidupan kami," katanya.

Dia berkata, kampung itu sebelum ini boleh memuatkan 40 hingga 50 rumah tetapi kini hanya sekitar 20 saja kerana kawasan semakin sempit dihimpit kebun sayur.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 3:19pm
d