mutakhir

Jualan air zam zam berleluasa [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

MASIH ada peniaga yang menjual air zam zam di pasaran walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Isnin lalu, mengeluarkan kenyataan bahawa air itu tidak boleh dijual.

Tinjauan Harian Metro di sebuah kiosk di ibu negara mendapati, air zam zam dijual pada harga RM45 untuk 1.5 liter, 10 liter RM170, RM110 lima liter dan RM15 botol kecil 500 mililiter.

Seorang wanita lingkungan 30-an yang mendakwa pekerja di kiosk itu berkata, penjualan khususnya tong besar 10 liter terpaksa dilakukan secara sorok-sorok sebab isu air zam zam sedang panas ketika ini.

“Saya pun bekerja sahaja di sini, tak tahu di mana alamat pembekal itu. Biasa ada ‘Pak Arab’ hantar bekalan. Kami kena sorok sebab sekarang tengah panas mengenai air zam zam.

“Tong besar diletakkan di bawah meja tak dipamerkan, kami hanya tunjukkan sekiranya pelanggan mahu membelinya. Sebenarnya RM180 tetapi boleh kurang kepada RM170. Ada yang jual lebih mahal daripada harga kami,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja warga Bangladesh di sebuah premis pemborong bekalan makanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, berkata, sekarang susah mendapat bekalan air zam zam.

Menurutnya, stok yang ada di premis itu pun hanya ada lima kotak berisi botol besar kandungan 10 liter berharga RM120 dan tiada botol saiz lain yang dijual.

Harian Metro turut menjalankan tinjauan pendapat orang ramai dan mereka bersetuju dengan larangan berkenaan.

Eksekutif Teknologi Maklumat Johan Japar, 37, berkata, Arab Saudi sudah mengharamkan terlebih dahulu penjualan air zam zam.

“Mufti tempatan juga sudah mengeluarkan pandangan sehaluan dengan arahan larangan penjualan air zam zam selain KKM.

“Ini menunjukkan tiada pengesahan tempat penjualan air zam zam di negara ini dan senario itu dibimbangi akan menyebabkan berlakunya penyelewengan,” katanya.

Rakan sejawatnya, Muhamad Ariff Che Wan, 36, larangan itu perlu dipatuhi semua pihak bagi menjaga ketulenan air zam zam.

Katanya, jika dibiarkan air zam zam diniagakan secara berleluasa tanpa pemantauan, dibimbangi bukan air zam zam yang dijual dan akhirnya masyarakat tertipu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

“Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan berkenaan kerana air zam zam tidak boleh diperdagangkan.

“Justeru, tiada pengedar atau syarikat yang mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 4:55pm
d