mutakhir

PRK Kimanis: 'Karim orangnya santai'

Oleh Olivia Miwil

BERSEMBANG secara santai adalah pendekatan Datuk Karim Bujang berkempen dari rumah ke rumah untuk bertemu dengan penduduk di Kimanis.

Jeffry Emeritus, 63, dari Kampung Kelatuan berkata, calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis itu selalu berbual-bual dengannya secara santai.

“Saya sudah mengenalinya (Karim) lebih 10 tahun dan pada masa dahulu, saya selalu ke sebuah kafe di Kimanis dan kami lazimnya akan bercerita mengenai macam-macam perkara,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Batu Enam, di Kimanis.

Ditanya sama ada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan itu ada meraih undi sebagai Ahli Parlimen di situ nanti, Jeffry berkata, tidak ada dan ia tidak perlu kerana dia amat mengenali Karim dengan baik.

Seorang penduduk dari Papar, Catherine Anthony, 67, berkata, Karim ada bertanya mengenai apa pekerjaan atau yang dibuat oleh ahli keluarganya.

“Saya beritahu yang saya menyara hidup dengan pendapatan yang terhad, sebelum dia (Karim) menggalakkan kami untuk memulakan projek sarang burung di tempat kami.

“Sebagai pengikut setia kepadanya, saya percaya dia harus mewakili kami di Parlimen kerana dia banyak membantu rakyat walaupun bukan lagi menjadi ahli politik sejak Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya.

Karim, 67, walaupun lewat beberapa jam daripada jadual asal kempennya di situ, namun penduduk tetap bersabar menunggu.

Beliau berkata, mungkin faktor usia yang semakin meningkat, dia mudah keletihan, tetapi dia tetap turun padang untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa dia boleh mewakili suara mereka.

“Saya tetap berjumpa dengan pengundi yang datang ke rumah sehingga jam 2 pagi.

“Secara purata saya hanya tidur satu hingga dua jam setiap hari (sejak kempen bermula pada 4 Januari),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 6:38pm
    d