mutakhir

Geng samun klinik tumpas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menumpaskan kumpulan samun klinik selepas menahan lima individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sentosa, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, serbuan dilakukan susulan kejadian samun klinik gigi di Jalan SS15, Subang Jaya, Jumaat lalu.

“Suspek pada mulanya menyamar sebagai pelanggan untuk merawat gigi, namun ketika masuk ke klinik berkenaan dua lagi suspek masuk dan mengeluarkan parang.

“Mereka merampas telefon pintar milik doktor dan jururawat di klinik terbabit selain mengambil wang tunai RM1950,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Risikin berkata, berdasarkan fotofit, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menyerbu rumah di Kampung Sentosa, Klang.

Beliau berkata, hasil serbuan menemui beberapa peralatan untuk menyamun, parang, sejumlah telefon pintar dan komputer riba.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif menyamun klinik dan melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Subang Jaya sejak enam bulan lalu.

“Semua suspek berusia 30 hingga 40 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 7:50pm
d