mutakhir

Lelaki dikhuatiri lemas

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

LELAKI berusia 32 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika memancing di Sungai Nal, dekat Kuala Krai, hari ini.

Difahamkan mangsa keluar memancing bersendirian di sungai berkenaan sebelum laporan kehilangannya dibuat ahli keluarga yang bimbang dengan keselamatannya selepas tidak pulang ke rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.47 pagi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Katanya, seramai 24 anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan BBP Sungai Durian, dan mendapat bantuan daripada Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Machang, BBP Pengkalan Kubor dan BBP Kota Bharu.

“Operasi turut disertai pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis dalam usaha mencari mangsa.

“Setakat ini, operasi diperluaskan pada jarak 1.5 kilometer (km) dari tempat mangsa dipercayai terjatuh,” katanya.

Katanya, tiada sebarang petanda ditemui setakat ini kecuali bot yang dipercayai dinaiki mangsa, selain sepasang selipar di dalam bot berkenaan.

“Menurut keluarga mangsa, kebiasaannya mangsa keluar memancing bersama rakan-rakannya, namun kali ini dia keluar memancing bersendirian tanpa ditemani sesiapa,” katanya.

Muhammad Rizwan Ar-Rafee berkata, operasi mencari mangsa juga berdepan beberapa kesukaran termasuk sungai cetek, selain batang kayu yang banyak menghalang operasi pencarian.

“Memandangkan keadaan dan cuaca yang gelap, kita menangguhkan operasi 6 petang dan disambung semula jam 8 pagi esok,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 8:49pm
d