mutakhir

MALBATT beroperasi seperti biasa di Lubnan

Oleh BERNAMA

PASUKAN pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) di Lubnan masih meneruskan operasi di negara itu seperti biasa meskipun ketegangan semakin meruncing di Asia Barat, demikian menurut Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur pada Rabu, bahagian itu memaklumkan pasukan tersebut yang terdiri daripada 850 anggota tentera masih menjalankan tugasan operasi seperti biasa mengikut mandat yang diberikan.

Pasukan MALBATT 850-7 berada di Lubnan sejak Oktober tahun lalu bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun.

Menurut laporan media antarabangsa, Iran memberi amaran bahawa kumpulan Hezbollah yang berpangkalan di Lubnan akan menyerang Israel jika Amerika Syarikat (AS) membalas serangannya ke atas pangkalan udara Ain al-Asad di Iraq pada Selasa.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh AS berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat.

Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei berikrar untuk membalas dendam atas kematiannya.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 9:34pm
d