mutakhir

Rizal Mansor lepas, bebas

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini melepas dan membebaskan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan bagi pihak Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar membabitkan wang RM218 juta.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan pihaknya menarik balik semua pertuduhan terhadap Rizal, 45.

Sri Ram turut memberitahu mahkamah bahawa sepatutnya pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan pada 6 Januari lalu.

“Namun, pihaknya hanya dapat berbuat demikian hari ini,” katanya.

Mahkamah kemudian melepas dan membebaskan Rizal dan mengarahkannya yang duduk dalam kandang tertuduh bersama Rosmah, keluar dari tempat itu.

Sebelum ini mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Rizal yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Rosmah dibicarakan bersama.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memohon supaya perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada Februari depan dilapangkan bagi memberi masa untuk pihaknya meneliti pernyataan saksi tersebut.

“Kami terkejut dengan keputusan ini (keputusan lepas bebas Rizal) dan perlu mengatur semua strategi pembelaan dan meneliti pernyataan saksi.

“Sehubungan itu, pembelaan memohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada Februari dan Mac ini,” katanya.

Namun, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan tersebut dan mengekalkan 3 Februari bagi memulakan perbicaraan.

Terdahulu, suasana di dalam mahkamah dilihat sedikit tegang apabila Rosmah cuba mendekati seseorang untuk memberitahu sesuatu di galeri awam namun dihalang oleh anak perempuan dan seorang daripada peguamnya.

Di luar mahkamah, ketika ditanya oleh media berhubung rakaman suara yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosmah menjawab: “Perkara itu akan ditangani oleh peguam saya”.

Pada 30 Mei tahun lalu, Mohamed Zaini menetapkan perbicaraan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal selama 32 hari bermula 3 Februari 2020.

Tarikh ditetapkan 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 6 hingga 9 April, 13 hingga 16 April, 20 hingga 23 April dan 27 hingga 30 April.

Pada 10 Mei tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal.

Wang berkenaan adalah sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 10:56pm
d