mutakhir

Bukti ketabahan ibu

Oleh Ramli Ibrahim

WALAUPUN menghidap penyakit tiroid sejak 19 tahun lalu, namun seorang ibu tetap tabah menjaga tiga anaknya yang menderita penyakit leukemia dan tulang lembut.

Keadaan itu bukan beban buat ibu sembilan anak, Cik Laily Che Musa, 42, dari Kampung Batu Papan, Gua Musang, untuk menjaga mereka yang kerap kali menerima rawatan di hospital.

Cik Laily berkata, anaknya Mohd Nor Firdaus Mohd Amin, 16, dan Mohd Amin Ruallah, 8, menghidap leukemia, manakala Mohd Adam Arif, 10, pula mempunyai masalah tulang lembut.

Mereka kerap mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan perlu perhatian sepenuhnya.

Untuk itu Cik Laily berkata, dia dibantu suami, Mohd Amin Ali, 48, yang bekerja di kedai getah sekerap bagi menampung kehidupan.

“Setiap kali anak-anak masuk wad, ia mengambil masa lama dan pernah sebelum ini, suami menjaga mereka di HUSM hampir sebulan hingga hilang pendapatan RM800 sebulan.

“Pada masa itu, kami terpaksa berhutang dengan majikan suami untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gua Musang, hari ini.

Menurutnya, Mohd Nor Firdaus mula dikesan menghidap leukemia ketika berusia tiga tahun, manakala Mohd Amin Ruallah pula pada usia empat tahun.

Katanya, Mohd Adam Arif mengalami masalah tulang lembut ketika berusia tiga tahun dan dua betisnya menjadi bengkok.

“Kedua-dua anak yang menghidap leukemia itu mudah letih dan jika berlaku keadaan sedemikian kami segera membawa mereka ke HUSM.

“Kami buntu memikirkan soal perbelanjaan kerana Mohd Amin Ruallah dan Adam Arif perlu diberi susu tiga hingga empat kali sehari serta masih menanggung empat anak yang bersekolah,” katanya.

Katanya, tiga anaknya itu masih bersekolah, namun kerap tidak hadir kerana cepat letih dan tidak boleh berjalan.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 03-063-02-011904-8 atas nama Cik Laily Che Musa.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 2:21pm
d