mutakhir

Abang bomba patah tiga tulang rusuk

Oleh Zuliaty Zulkiffli

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra patah tiga tulang rusuk kiri selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di simpang empat Teluk Malek, Jitra, hari ini.

Ketika kejadian 8.45 pagi, Mohd Shukhairan Shuib, 31, menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Sungai, Alor Setar.

Mangsa yang juga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Jitra dikatakan baru pulang bekerja syif malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota BBP Jitra tiba di lokasi sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Jitra (HJ) untuk rawatan.

“Anggota terbabit mengalami patah tiga tulang rusuk kiri dan sedang dirawat di Zon Kuning HJ,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu adalah kes ketiga kemalangan membabitkan anggota JBPM Kedah dalam tempoh seminggu.

Pada 2 Januari lalu, seorang anggota BBP Langkawi meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Ulu Melaka, Ayer Hangat di Langkawi.

Dua hari kemudian, seorang anggota BBP Kulim cedera parah selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah Perodua Alza ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada waktu malam.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 2:34pm
d